Kisah Imam Ahmad Dan Pembuat Roti Yang Suka Beristighfar

Imam Abu Daud meriwayatkan hadis  daripada Ibnu Abbas r.a, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, “ Sesiapa yang selalu beristighfar, nescaya Allah menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberi rezeki tanpa diduga olehnya.”

InsyaAllah, bila beristighfar secara berterusan menjadikan doa kita makbul. Inilah yang berlaku kepada seorang pembuat roti yang sentiasa beristighfar sepanjang masa. Berikut adalah kisahnya…

Pada satu ketika Imam Ahmad ( Ahmad bin Muhammad bin Hanbal Abu Abdullah al-Shayban), pengasas Mazhab Hanbali singgah di satu kampung. Penduduk kampung ini tidak mengenali Imam Ahmad.

Ketika itu sudah jauh malam. Imam Ahmad keletihan dan ingin tidur di sebuah masjid. Tapi niatnya terhalang. Penjaga masjid melarang Imam Ahmad tidur di masjid. Penjaga itu juga melarang Imam Ahmad tidur di perkarangan masjid.

Penjaga masjid mahu Imam Ahmad mencari rumah tumpangan untuk tidur.

Seorang pembuat roti ternampak ‘perbalahan’ antara Imam Ahmad dan penjaga masjid. Setelah memahami apa yang berlaku, maka si pembuat roti mempelawa Imam Ahmad bermalam di rumahnya.

Imam Ahmad menerima pelawaan itu.

Ketika Imam Ahmad hendak tidur, dia terdengar istighfar yang dibaca si pembuat roti yang sedang sibuk membuat roti untuk dijual pada esok hari. Setiap kali terjaga sepanjang dia tidur, Imam Ahmad tetap terdengar istighfar yang di baca oleh pembuat roti.

Boleh dikatakan si pembuat roti beristighfar sepanjang malam sambil membuat roti.

Pada esok hari, Imam Ahmad bertanya kepada si pembuat roti apa manfaat yang dia dapat bila sentiasa beristighfar. Si pembuat roti memberitahu Imam Ahmad yang tidak dikenalinya itu bahawa doanya dimakbulkan Allah.

Setakat ini kesemua doanya dimakbulkan Allah kecuali satu sahaja.

Imam Ahmad lantas bertanya, “Apakah doa kamu yang Allah belum makbulkan itu?”

Jawab si pembuat roti, “Doa saya yang belum dimakbulkan adalah untuk bertemu dengan Imam Ahmad bin Hanbal.”

Maka kata Imam Ahmad, “Sayalah orangnya. Akulah Imam Ahmad Bin Hanbal. Demi Allah, sesungguhnya aku telah diseret untuk menuju kepadamu.”

Berkat istighfar yang sentiasa basah dibibir si pembuat roti itu maka Allah makbulkan setiap doanya termasuklah doanya untuk bertemu dengan Imam Ahmad bin Hanbal.

Ternyata kelebihan istighfar begitu besar. Keampunan yang kita minta daripada Allah melalui amalan istighfar sebenarnya bukanlah untuk Allah, malahan untuk manfaat kita sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge