Ini Cerita Cheese Pleat Yang Legend

Cheese Pleat adalah satu nama roti yang sudah dijual lama di SAFA Bakery & Café. Sebelum ini SAFA dikenali sebagai Ikhwan Cake House. Dan sebelumnya Vienna Pastry Home.

Sejak Vienna Pastry Home lagi, Cheese Pleat sudah dijual.

Maknanya Cheese Pleat sudah dijual lebih 25 tahun di Lot 1-12, Bangunan Medan MARA, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur.

Cheese Pleat ini dibuat mengunakan doh asas lemak manis. Ditimbang dengan berat tertentu dan dibulatkan. Rehatkan doh yang telah dibulatkan ini sebentar. Kemudian dibelah bahagi tiga. Tiap satu belahan digelek panjang dengan gerakan lembut.

Tengok gambar di bawah.

Tiga gulungan panjang ini dipintal menjadi seperti sanggul anak gadis kecil. Sebab itu ada juga pelanggan memanggil Cheese Pleat ini sebagai Roti Pintal Sanggul.

Rehat sekali lagi setelah dipintal. Bila sudah mengembang sedikit, letak cheese parut atasnya. Kemudian atas cheese itu ditabur gula. Kerana ia dibubuh cheese, ada pula pelanggan memanggil roti ini sebagai Roti Pintal Cheese.

Bakar dengan suhu 150c selama 10-15 minit.

Inilah roti Cheese Pleat yang lembut, sedap menyelerakan.

Cheese Pleat ini ramai peminat.

Sebelum (Datuk) Ng Joo Ngan (jaguh lumba basikal dan bekas Jurulatih skuad basikal kebangsaan) membuka kedai di Ampang, beliau memiliki kedai basikal bersebelahan  SAFA di Lot 1-13 pada 90an.

Jaguh lumba basikal negara di bawah kendalian Ng Joo Ngan dan peminat basikal yang datang ke kedai beliau akan singgah membeli roti. Bekas jaguh M Kumaresan, Musairi Musa, Tsen Seong Hong, Mahazir Hamad dan lain ada juga datang. Terutamanya M Kumaresan, tiap kali datang beliau hanya membeli Cheese Pleat, tidak roti lain.

Ayahanda Shila Amzah, ND Lala dan kawan beliau Pelakon KAZA (Kazaruddin Saisi) juga sukakan Cheese Pleat ini. Tiap kali mereka berdua datang ke MARA atas urusan kerja, mereka akan singgah ke SAFA (dahulunya Ikhwan Cake House) membeli Cheese Pleat.

Itu juga pada 90an. Ketika itu mereka bersama dalam bisnes pengacaraan.

Seorang pelancong orang putih yang ‘tersinggah’ di SAFA bertanya (tanya dalam bahasa orang putihlah) dengan hairan, “kenapa letak gula di atas cheese?”

Staff SAFA yang bertugas tersipu-sipu menjawab dalam bahasa orang putih pelat Melayu, “Orang Melayu Malaysia memang suka makan cheese dengan gula.”

Pelancong orang putih itu mengangguk-angguk. Cuba memahami budaya makan orang Melayu yang pelik baginya. Dia beli satu kerana mahu cuba roti cheese bergula kegemaran orang Melayu.

Entah itu memang kegemaran orang Melayu atau tidak, tidaklah siapa tahu. Akan tetapi Cheese Pleat yang tiada gula di atasnya, memang tidak disukai. Pelanggan suka Cheese Pleat yang ada banyak gula di atasnya.

Dan betapa ramai pula yang mengimbau nostalgia, ketika mereka masih kanak-kanak kecil yang dibelikan Cheese Pleat oleh orang tua mereka (staff MARA) sebagai bekal ke sekolah dan kudapan petang selepas balik sekolah.

Kanak-kanak kecil ini sudah besar dewasa.

Dan sekarang mereka pula membawa anak-anak kecil mereka datang membeli Cheese Pleat mengulang sejarah dan cerita ketika mereka kecil dahulu.

Ini Cheese Pleat yang sama. Mungkin harganya sudah berubah sedikit. Tetapi bentuk dan rasanya kekal begitu.

Dan di sebalik pembuatan dan penjualan Cheese Pleat, ada cerita dan kisah penuh warna warni.

Sedap atau tidak, datang sendiri dan rasai Cheese Pleat di SAFA BAKERY & CAFÉ, Lot 1-12, Medan Mara, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur.

11 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge