Ingatlah Selalu Kisah Si Empunya Roti

Wali Allah Hassan al-Basri ada berkata;

“Wahai anak Adam, sesungguhnya kamu akan melihat di akhirat nanti semua amal yang kamu buat di dunia ini. Setiap kebaikan dan keburukan yang kamu buat akan ditimbang. Janganlah kamu remehkan satu kebaikan walaupun kecil, kerana yang kecil itu akan membuatkan kamu bahagia. Dan janganlah kamu remehkan satu kejelekan walau pun kecil, kerana yang kecil itu akan membuatkan kamu sengsara.”

Daripada kata-kata Hassan al-Basri ini dapatlah kita faham bahawa jangan sesekali meremehkan kebaikan walau pun kecil (hingga kita tidak mahu membuatnya kerana dianggap tidak besar) kerana mungkin kebaikan kecil itu akan membuatkan kita masuk syurga.

Dan juga jangan sesekali meremehkan kejahatan walau pun kecil (hingga kita sanggup melakukannya kerana menganggap kejahatan itu tidak sebesar mana) kerana mungkin kejahatan yang kecil itu akan membuatkan kita masuk neraka.

Kita boleh memahami kebenaran kata-kata Hassan al-Basri ini melalui kisah berikut;

Ketika hampir meninggal dunia, Abu Musa Asya’ari r.a memanggil kesemua anak beliau dan berpesan kepada mereka, “Wahai anak-anakku, ingatlah selalu kisah si empunya roti.”

Bagaimana kisah si empunya roti? Begini kisahnya;…

Dahulunya, ada lelaki soleh daripada Bani Israil yang kuat beribadah di tempat suluknya. Selama 70 tahun dia tidak pernah berbuat dosa. Kerjanya selama 70 tahun itu hanya solat, berzikir dan beramal ibadah yang lain.

Hinggalah pada satu hari…syaitan ingin menggodanya. Lalu syaitan menyerupai seorang wanita yang cantik jelita.

Fitnah terbesar bagi seorang lelaki adalah wanita. Kata-kata ini betul. Lelaki soleh ini takjub dengan kecantikan wanita itu dan jatuh cinta padanya.

Selama 7 malam dia tidur bersama wanita itu.

Kelakuan lelaki soleh itu akhirnya terbongkar. Aibnya tersingkap. Masyarakat kampung tahu lelaki soleh itu telah berzina dengan seorang wanita. Lelaki soleh itu teramat malu dan sedar dia telah melakukan dosa.

Lalu dia keluar daripada kampung itu untuk bertaubat kepada Allah.

Setiap kali dia berjalan selangkah, dia akan sujud kepada Allah. Itulah caranya dia bertaubat kepada Allah. Sehinggalah dia sampai ke sebuah pondok buruk yang dihuni oleh 12 orang fakir miskin.

Kebetulan hari telah malam. Dia ambil keputusan untuk bermalam di pondok buruk itu. Dia menyelusup masuk di antara 12 orang fakir miskin itu tanpa disedari oleh mereka.

Pada tengah malam, datang seorang membawakan roti untuk disedekahkah kepada fakir miskin tersebut. Dia hanya membawa 12 buku roti kerana dia tahu pondok buruk itu dihuni 12 fakir miskin tanpa menyedari lelaki soleh itu ada di situ menjadikan 13 orang kesemuanya.

roti-8

Orang itu membahagikan satu persatu roti hingga habis. Seorang fakir miskin yang tidak dapat roti lantas bertanya,

“Mengapa kamu tidak memberikan roti kepada saya?”

Orang itu menjawab, “Apakah kamu lihat aku masih memegang roti? Semuanya telah aku berikan. Tanyakan kepada mereka, apakah ada di antara mereka yang aku telah berikan 2 roti?

Mereka menjawab serentak, “Tidak!”

Orang itu berkata, “Aku tidak dapat memberikan pada kamu apa-apa. Kerana aku sudah tidak punya roti lagi”

Lelaki soleh yang mendengar percakapan itu lantas memberikan roti yang dia dapat kepada lelaki yang tidak mendapat rotinya. Lelaki soleh itu tidur dalam kelaparan.

Takdir Allah menentukan yang dia meninggal di dalam tidur.

Abu Musa Asya’ari r.a melanjutkan kisah ini kepada anak-anaknya,

“Lalu ibadah yang dilakukan oleh lelaki soleh itu selama 70 tahun ditimbang dengan dosa zina yang dia lakukan selama 7 malam. Ternyata dosa yang dia lakukan selama 7 malam lebih berat berbanding pahala ibadah 70 tahun.”

“Kemudian keikhlasan dia memberikan semula roti yang dia dapat kepada penerima yang berhak ditimbang dengan dosa zina selama 7 malam. Ternyata pahala keikhlasan itu lebih berat berbanding dosa zina 7 malam.”

Abu Musa Asya’ari r.a menasihati kesemua anaknya, “Wahai anak-anakku, bila kamu ingin berbuat sesuatu, ingatlah selalu kisah si empunya roti ini.”

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge