Kisah 3 Ketul Roti Dan 3 Ketul Emas

Wahab bin Munabbih adalah seorang tabi’in. Lahir pada zaman pemerintahan Uthman bin Affan r.a. Beliau suka mengkaji dan menganalisa kitab-kitab lama yang diturunkan sebelum al-Quran.

Beliau pernah berkata, “Aku sudah membaca 30 kitab yang turun kepada 30 nabi.”

Beliau juga mahir dengan kisah-kisah dan liku hidup kaum Bani Isra’il. Selama 20 tahun beliau solat Isyak dan Subuh dengan satu kali wuduk. Hassan al-Basri selalu mengunjunginya. Tokoh-tokoh terkemuka lain pada zaman beliau juga selalu mengunjunginya.

Kisah 3 ketul roti dan 3 ketul emas ini, diceritakan oleh Wahab bin Munabbih. Ini kisahnya…cara buat roti

Pada satu hari Nabi Isa a.s melakukan perjalanan jauh. Beliau ditemani seorang lelaki dari golongan Bani Isra’il. Nabi Isa membawa bekal seketul roti. Lelaki itu pula membawa 2 ketul roti.

Setelah jauh berjalan, Nabi Isa memberi cadangan untuk berhenti berjalan dan bersama-sama menjamah makanan yang dibawa untuk mengisi perut yang kelaparan dan kembali mendapatkan tenaga.

Lelaki Bani Isra’il itu setuju. Tapi bila mengetahui Nabi Isa hanya membawa 1 ketul roti, dia menyesal. Memang dasar Yahudi yang tamak, lelaki Bani Isra’il itu berfikir selepas masing-masing makan seketul roti, satu lagi roti yang ada padanya akan dibahagi dua. Dia tidak mahu hal itu terjadi.

Sudah jadi kebiasaan, sebelum makan Nabi Isa akan solat dan berdoa. Ketika itulah lelaki Bani Isra’il itu makan satu rotinya secara diam-diam.

Tibalah waktu makan. Masing-masing keluarkan roti dalam simpanan. Ketika melihat lelaki Bani Isra’il itu hanya mengeluarkan 1 ketul roti, Nabi Isa bertanyakan roti yang satu lagi.

Sudah jadi kebisaan juga ketika itu untuk mengeluarkan semua bekal yang ada ketika makan.

Lelaki Yahudi itu membohongi Nabi Isa yang dia hanya membawa 1 ketul roti. Nabi Isa diam sahaja. Mereka makan dan selepas itu meneruskan perjalanan.

Tidak lama kemudian mereka bertembung dengan orang buta. Nabi Isa berkata kepada orang buta itu, ‘‘Bagaimana kalau aku sembuhkan mata kamu. Apakah kamu akan bersyukur kepada Allah?”

Orang buta itu menjawab, “Ya. Tentu saja aku akan bersyukur kepada Allah.”

Nabi Isa berdoa kepada Allah sambil mengusap mata orang buta itu. Dengan izin Allah, orang buta itu dapat melihat kembali. Kemudiannya Nabi Isa berkata kepada lelaki Yahudi yang berjalan bersamanya.

“Demi Allah yang telah memperlihatkan kepada kamu bagaimana Dia membuatkan orang buta itu kembali dapat melihat, apakah kamu hanya ada 1 roti dan tidak ada roti yang lain?”

Lelaki Yahudi itu tetap memberitahu yang dia hanya ada 1 ketul roti.

Mereka meneruskan perjalanan dan terserempak dengan seekor rusa. Nabi Isa memanggil rusa itu. Bila rusa itu datang, Nabi Isa menyembelihnya, memasaknya dan mereka berdua memakannya.

Sehabis menikmati daging rusa itu, Nabi Isa berkata, “Wahai rusa. Hiduplah kamu kembali dengan izin Allah.”

Maka dengan izin Allah, tulang-tulang rusa itu berkumpul kembali. Kemudian ia tumbuh daging dan rusa itu hidup kembali.

Kemudian Nabi Isa berkata kepada lelaki yahudi, “Demi Allah yang telah memperlihatkan mukjizat ini kepada kamu, siapakah yang memakan roti yang ketiga itu?”

Lelaki Yahudi itu menjawab, “Saya hanya ada satu roti, sebagaimana yang sudah saya katakan.”

Mereka meneruskan perjalanan. Kemudian dengan izin Allah mereka terjumpa 3 batu besar yang berkilau cantik. Rupanya ia 3 ketul emas!

Nabi Isa berkata, “Satu emas ini untuk aku. Satu untuk kamu dan satu lagi untuk orang yang mempunyai roti yang ke3.”

Mendengar kata-kata Nabi Isa itu, lelaki Yahudi itu memberitahu hal sebenar, “Akulah yang punya roti ke3 itu. Aku memakannya ketika kau sedang solat dan berdoa.”

Nabi Isa berkata, “Kalau begitu, semua batu ini untuk kamu.” Lalu Nabi Isa meninggalkan lelaki Yahudi itu.

Sepeninggalan Nabi Isa, lelaki tersebut cuba membawa 3 ketul  batu emas itu. Namun dia tidak mampu membawa ketiganya sekaligus. Kemudiannya muncul 3 orang lelaki.

Mereka membunuh lelaki Yahudi itu dan merampas  ketul emas yang ada.

Batu emas itu sungguh menggoda dan membuatkan dua orang lelaki itu berniat buruk kepada orang ketiga. Lalu salah seorangnya berkata kepada lelaki ketiga, “Pergilah kau ke kampung terdekat. Belilah makanan untuk kita.”

Setelah lelaki ketiga itu pergi, lelaki yang berkata tadi menyarankan kepada lelaki yang seorang lagi, “Nanti bila dia datang, kita bunuh sahaja. Emas ini bolehlah dibahagikan untuk kita berdua sahaja.” Temannya setuju.

Sementara lelaki yang pergi membeli makanan membuat perancangan, “Nanti aku akan letak racun dalam makanan biar mereka mati keracunan. Dengan itu hanya aku seorang yang memiliki emas itu.”

Bila lelaki yang membawa makanan itu datang, dia dibunuh. Kedua temannya yang membunuhnya akhirnya mati juga selepas mereka memakan makanan yang telah diracun itu.

Tidak lama kemudiannya, Nabi Isa melewati tempat itu bersama sahabatnya yang lain.

Ketika melihat 4 mayat di samping batu emas itu, Nabi Isa berkata kepada sahabat-sahabatnya,” Begitulah dunia memperlakukan kepada penghuninya. Oleh itu selalulah berhati-hati dengan tipu daya dunia.”

Iktibar dari kisah ini amat jelas.

Pertama, pilihlah teman seperjalanan yang baik. Kedua, jangan culas dengan teman seperjalanan. Ketiga, hati yang terlalu terpaut dengan dunia akan ‘terkorban’ dengan godaannya. Keempat, harta lebih banyak membawa keburukan jika ia tidak dihiasi dengan iman. Betapa banyak pembunuhan berlaku kerana berebutkan dunia.

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge